Thursday, August 27, 2009

ARTIS DAN TUJUAN BERKARYA : CATATAN 1

Adakalanya kita patut cuba memahami tujuan seseorang artis itu berkarya. Usaha ini dapat membantu kita memahami persekitaran dan persoalan yang dihadapi oleh seseorang artis itu. Hal ini juga boleh membantu untuk mengenali permasalahan yang sedang dan bakal dihadapi dalam kegiatan berkarya.

Perkara utama yang patut dilihat adalah bentuk persembahan karya itu sendiri, tidak kiralah samaada yang terpamer di mana mana pameran, yang terbit di mana mana penerbitan atau juga terperusuk dan menjadi kediaman labah labah di studio-studio artis. Di antara karya itu ada yang boleh membuka inspirasi baru dan memberi cabaran kepada daya hayat, tidak kurang begitu mentah dan menghambarkan. Tidak pula sengaja dikatakan begitu ; tetapi apabila kesan visual kurang diperhitungkan samada secara sengaja atau artis itu sendiri kurang mahir, maka mentahlah karya itu, apatah lagi apabila soal soal yang lebih serius seperti makna dipersoalkan.

Selain daripada karya, sikap seseorang artis itu juga patut di ambil kira. Tujuan dan pendirian yang tersemat di dalam diri artis itu secara tidak langsung akan terpancar melalui karya karyanya. Harus diingat bahawa seperti orang lain, artis juga tidak dapat lari daripada pengaruh dan dorongan carahidup masa kini yang mementingkan kebendaan.

Dalam mencari jawaban kepada permasalahan ini, adalah dirasakan tepat untuk kita menyoal niat dan tujuan kenapa seseorang artis itu berkarya. Apakah sebenarnya yang dicari? Bagaimana dengan proses pengkaryaan itu? Apakah permasalahan dan persoalan yang patut diambil kira.

catatan : Tengku Sabri Tengku Ibrahim (Jurnal Tanpa Tajuk Julai 1996)

No comments:

Post a Comment