Thursday, August 27, 2009
PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL
Oleh
Prof. Madya Dr. Muliyadi Mahamood
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam.
Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat. Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual (Hornby, 1974: 43). Seni juga disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan untuk melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12). Hauser berpendapat, seni adalah komunikasi (1959). Herbert Read pula menjelaskan bahawa seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni adalah penjelmaan rasa estetika (1959: 16).
Seni Visual
Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut bahan campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer. Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999).
Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.
Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni tradisi lazimnya disifatkan sebagai bentuk-bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan ciri-ciri tertentu yang boleh mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti dalam kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya. Seni keagamaan pula mendukung prinsip-prinsip agama tertentu dan ia berbeza di antara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.
Kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna, teknik, bahan, dan hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah pengkarya dan persekitaran, serta penghayatan khalayak terhadapnya menjadi perkara-perkara asas kepada bidang Sejarah Seni Visual. Justeru itu, Sejarah Seni Visual adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji perkembangan tamadun manusia menerusi penelitian terhadap kerja-kerja seni.
Konsep dan Kaedah Sejarah Seni Visual
Maksud Sejarah Seni Visual
Tujuan Sejarah Seni Visual
Penghayatan terhadap sejarah memungkinkan khalayak mengetahui peristiwa masa lalu sebagai asas untuk memahami situasi masa kini. Jika sejarawan memahami masa lalu dengan mengkaji fakta-fakta peristiwa, sejarawan seni visual pula berusaha untuk memahami masa lalu menerusi karya-karya seni. Dalam konteks ini, karya seni visual menjadi dokumen-dokumen sejarah yang merakamkan akan masa atau era yang menghasilkannya, sementara apresiasi atau penghayatan seni yang menjadi dasar bidang Sejarah Seni Visual bertindak sebagai asas untuk memahaminya. Selain daripada memperjelaskan akan bentuk, makna, dan fungsi sesuatu karya, Sejarah Seni Visual juga melihat akan perubahan-perubahan persepsi, fungsi, mahupun makna yang berlaku ke atas sesuatu karya itu, contohnya dengan mengkaji faktor-faktor yang mewujudkan sesuatu perubahan (Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).
Misalnya, ia boleh dimulai dengan bertanya apakah objek itu?; untuk siapa ia dibuat?; ia dibuat daripada apa?; bagaimana keadaannya sekarang?; adakah ia satu-satunya objek sedemikian?; apakah maksudnya?; apakah yang cuba disampaikan?; bagaimanakah ia dipersembahkan?; dan siapakah yang menghayatinya?. Atau, ia boleh dimulakan dengan soalan siapakah pembuatnya?; di mana ia sekarang?; bagaimana ia berada di tempatnya kini?; bila ia sampai di tempatnya kini?; siapa yang mendapatkannya?; mengapa?; berapakah harganya?; siapa pemilik asalnya?; siapa yang menghayatinya? (Pointon, 1994: 61). Persoalan-persoalan asas ini menjadi dasar dalam mengenali serta memahami sesebuah karya seni itu dengan lebih dekat dan bermakna. Ini yang ditegaskan oleh Hauser dalam tulisannya, bahawa dalam usaha memahami karya seni, kita tidak terus menerangkannya, tetapi
Berbicara tentang karya seni, Hauser menulis:
”We do not go straight towards them, but circle around them. Each generation sees them from a different point of view and with a fresh eye; nor is it to be assumed that a later point of view is more apt than an earlier one. Each aspect comes into sight in its own time, which cannot be anticipated or prolonged; and yet its significance is not lost, for the meaning that a work assumes for a later generation is the result of the whole range of previous interpretations.” (Hauser, 1959 in Fernie, 2001: 205).
Secara umumnya, pengkajian terhadap karya seni perlu mengambilkira aspek-aspek bentuk (aspek-aspek formal, termasuklah pengolahan karya dan gaya penampilan) dan makna (ikonografi: tersurat dan tersirat). Penelitian terhadap bentuk dan makna ini pula dihubungkan dengan konteks penghasilan sesuatu karya, misalnya aspek-aspek period atau masa: sejarah dan kebudayaan.
Kritikan seni memainkan peranan penting dalam perkembangan seni visual baik bagi pengkarya mahupun khalayak secara umumnya. Bagi pengkarya, kritikan boleh membantu mereka mempertingkatkan profesion menerusi penambahbaikan dalam proses pengkaryaan dengan mengambil kira reaksi serta maklum balas dari pengkritik mahupun khalayak. Bagi penghayat pula, kritikan seni boleh mempertingkatkan tahap apresiasi serta persepsi mereka terhadap seni visual secara umumnya.
Kritikan seni merangkumi pelbagai persoalan asas dan ruang litup seni visual, seperti bentuk, makna dan konteksnya. Dalam kritikan seni, pengkritik perlu mengambil kira aspek hal benda, komposisi, dan kandungan karya menerusi strategi terancang yang melibatkan aspek diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Sesebuah karya kritikan seni boleh terhasil dalam bentuk jurnalistik mahupun ilmiah, diterbitkan serta disebarkan untuk pengetahuan pengkarya dan khalayak.
Dalam kritikan, pengkritik seni menyentuh persoalan-persoalan yang meliputi aspek perasaan, idea, serta pelbagai perkara lain yang diungkapkan pengkarya melalui karyanya, sama ada dalam bentuk catan, lukisan, arca, periklanan, kartun, komik, reka bentuk laman web, poster dan seumpamanya. Pengkritik berperanan sebagai penghubung antara pengkarya dan khalayak menerusi hasil kritikannya yang mengupas kepelbagaian nilai serta makna. Dengan kata lain, pengkritik juga berupaya mengupas serta memperjelaskan nilai-nilai yang tersurat dan tersirat dalam sesebuah karya seni untuk makluman khalayak dan pengkarya itu sendiri. Menurut Feldman (1994), pengkritik mempunyai dua peranan besar, iaitu mengulas organisasi estetik dan pengolahan teknik karya, di samping menyentuh persoalan-persoalan minat serta nilai yang disimbolkan dalam sesebuah karya seni.
Oleh kerana kritikan seni mengulas, menganalisis, menginterpretasi, dan menilai karya seni visual yang juga merupakan objek budaya, maka ia pada dasarnya berhubungan dengan hal ehwal kebudayaan. Dalam konteks ini, kritikan seni sebenarnya turut berperanan dalam menentukan arah perkembangan sesebuah kebudayaan. Karya seni adalah cerminan masyarakat dan budaya yang terungkap melalui pengucapan tatabahasa visual pengkarya. Pengkritik mengupas persoalan-persoalan tersebut, justeru memaklumkan kepada khalayak tentang kedudukan pengkarya dan kebudayaan secara umumnya. Pertimbangan serta penilaian pengkritik boleh dijadikan landasan serta panduan penambahbaikan mahupun penentuan arah seni dan budaya. Dalam konteks ini, tujuan-tujuan kritikan seni adalah untuk membimbing, memberi kefahaman dan penjelasan kepada khalayak mengenai sesuatu karya yang dikupas. Menerusi pertimbangan serta penilaian yang dilakukan, pengkritik berupaya memperjelaskan ataupun menyelesaikan isu-isu berkenaan estetik dan kebudayaan. Justeru itu, kritikan seni pada dasarnya tidak terpisah daripada konteks kebudayaan pengkarya, masyarakat mahupun tamadun.
Kritikan seni boleh mempengaruhi profesion pengkarya kerana ia merupakan suatu bentuk reaksi, maklum balas, pengesahan malahan pengiktirafan terhadap sesuatu produk seni yang dihasilkan. Menerusi maklum balas itu, pengkarya boleh menambahbaik mutu atau gaya karya mereka secara berterusan. Proses penambahbaikan ini boleh menyentuh persoalan idea, konsep, teknik, tema, hal benda, atau gaya persembahan secara umumnya. Hal ini demikian kerana kritikan seni lazimnya menyentuh kepelbagaian aspek itu, berdasarkan kemampuan serta pendekatan yang diambil oleh pengkritik.
Bagi pengumpul karya seni, kritikan boleh mempertingkatkan nilai sesuatu karya yang mereka miliki. Sesebuah karya seni akan menjadi lebih terkenal jika ia diperkatakan serta dibicarakan secara meluas, justeru itu memungkinkan ia dikenali lebih ramai dan menjadi popular. Kepopularan karya boleh mempertingkatkan nilai komersilnya. Di samping itu, kritikan juga berupaya mengesahkan atau membenarkan persepsi atau tanggapan pengumpul seni terhadap sesuatu karya yang mereka miliki atau berhajat untuk dibeli. Bagi muzium, galeri seni awam dan swasta, serta yayasan kesenian yang mengumpul seni, kritikan seni berupaya memperkayakan dokumentasi serta bahan rujukan koleksi, di samping memberi mereka panduan bagi membeli karya-karya yang baru, baik dan berpotensi.
Penulisan sejarah serta kritikan seni merupakan dokumen-dokumen penting bagi pengkaji dan khalayak untuk mengenali sesebuah karya itu dengan lebih berkesan dan bermakna. Hal ini memungkinkan mereka mempertingkatkan kefahaman, persepsi dan daya apresiasi tentang seni secara umumnya. Menerusi kritikan seni, khalayak boleh memahami dengan lebih lanjut akan sesebuah karya itu, misalnya dari sudut tema, teknik, gaya dan makna. Khalayak memahami aspek bentuk dan makna karya secara tersurat dan tersirat, bukan melihat secara luaran sahaja kerana kritikan seni menampilkan diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan yang membolehkan mereka meletakkan seni pada konteks ruang dan masanya.
Bagi sejarawan dan pengkaji seni, kritikan seni boleh membantu usaha mereka meletakkan kedudukan seseorang pengkarya mahupun produk seni itu dalam peta perkembangan seni yang lebih luas. Hal ini menunjukkan bahawa, selain daripada menjadi wadah pendidikan, kritikan seni juga boleh menjadi dokumen-dokumen sejarah yang penting lagi berharga.
Strategi Kritikan Seni
Kritikan seni amat berkait rapat dengan apresiasi seni yang terbentuk menerusi kefahaman terhadap aspek-aspek asas karya seperti hal benda, komposisi dan kandungan. Kebolehan menangani serta menghuraikan ketiga-tiga aspek ini akan memberi laluan kepada penghasilan kritikan yang lebih bermakna lagi berkesan. Dalam strategi pertama iaitu diskripsi, seseorang pengkritik perlu mengenalpasti ciri-ciri fizikal karya, seperti pengolahan formal dan mengenal pasti imejan. Dia perlu mengumpul data-data asas atau data-data visual karya dan fakta-fakta pengkarya seperti biodata, tajuk, medium, dan tarikh: jelasnya, menyediakan suatu inventori akan perkara-perkara utama itu.
Pada tahap analisis karya, pengkritik perlu menganalisis fakta-fakta visual, contohnya dari sudut pengolahan komposisi, garis, cahaya, bentuk, warna, permukaan, dan jalinan. Ini dihubungkan dengan persoalan proses dan teknik serta mencari pertaliannya dengan persoalan idea dan perasaan misalnya. Menerusi strategi ini, pengkritik seharusnya berupaya mengenal pasti kepelbagaian hal benda dalam karya yang antara lain merangkumi figura, alam semula jadi, alam persekitaran dan objek buatan manusia. Keupayaan mengenal pasti ini seharusnya diiringi dengan kebolehan membaca bentuk penampilan imejan yang mungkin berkaitan dengan pelbagai aliran dan gaya seni, baik yang bersifat tradisi, moden, pascamoden mahupun kontemporari. Pengetahuan ini memungkinkan pengkritik membuat perbandingan serta perhubungan di antara satu karya dengan karya-karya yang lain, ataupun satu gaya dengan gaya-gaya yang lain. Hal ini amat penting bagi membentuk pandangan dan pertimbangan kendiri oleh pengkritik.
Berdasarkan analisis hal benda dan komposisi, seseorang pengkritik berupaya melakukan interpretasi iaitu mengenal pasti kandungan sesebuah karya yang mengungkapkan sesuatu tema, makna, dan fungsi. Dalam hal ini, pengkritik berusaha meletakkan bentuk dan makna karya pada konteksnya. Rangkuman ketiga-tiga proses mengenal pasti dan menghuraikan aspek-aspek asas ini memungkinkan pengkritik membuat pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya.
Kritikan seni memerlukan daya kefahaman individu yang baik terhadap pelbagai aspek karya seni visual yang dibicarakan. Justeru itu, untuk menjadi seorang pengkritik yang baik, seseorang individu itu sewajarnya mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni serta berpengetahuan luas. Dia seharusnya berupaya berkomunikasi dengan baik dan jelas, sama ada secara lisan ataupun tulisan. Dia juga sewajarnya bersifat terbuka, bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan khalayak, serta mempunyai kejelasan pemikiran dan ekspresi. Aspek-aspek ini amat perlu bagi seseorang pengkritik dalam menghasilkan pertimbangan dan penilaian yang berbentuk ”formalisme, ekspresivisme, mahupun instrumentalisme” (Feldman, 1994). Pertimbangan dari sudut formalisme adalah pertimbangan berasaskan aspek-aspek keindahan dan harmoni; ekspresivisme ialah pertimbangan berdasarkan keupayaan menyampaikan perasaan dan idea; sementara instrumentalisme bermaksud pertimbangan berdasarkan keberkesanan karya sebagai suatu wadah atau alat, contohnya dalam konteks sesuatu institusi, masyarakat dan negara.
Rujukan
Bender, J.W. and Blocker, H.G., 1993. Contemporary Philosophy of Art.
Gaitskell, C.D. dan Al Hurwitz, 1970. Children and Their Art.
Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History.
Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History dalam Eric Fernie, 2001. Art History and Its Methods.
Hornby, A.S., 1974. Oxford Advanced Learner’s Dictionary of Current English.
http://www.newcastle.edu.au/discipline/fine-art/theory/analysis/panofsky.htm
Lester, P. M., 2000. Visual Communication: Images with Messages.
Martin, J., 1986. Longman Dictionary of Art. Longman.
Mbiyo Saleh, 1987. Estetika.
Muliyadi Mahamood, 1993. Mendekati Seni Lukis dan Seni Reka.
Muliyadi Mahamood, 2000. Sejarah Seni: Zaman Pertengahan hingga Abad ke 20.
Muliyadi Mahamood, 2001. Seni Lukis Moden
Muliyadi Mahamood, 2004. The History of Malay Editorial Cartoons (1930s-1993).
Ocvirk, O. G., Stinson, R. E., Wigg, P. R., Bone, R. O., and Cayton, D. L., 1998. Art Fundamentals: Theory and Practice. McGraw-Hill.
Osborne, H., 1979. The
Pointon, M., 1994. History of Art.
Preble, D., Preble, S. and Frank, P., 1999. Art Forms.
Read, H., 1959. The Meaning of Art. Penguin Books.
Rupa dan Jiwa. Katalog Pameran Rupa dan Jiwa: Kesinambungan Tradisi Dalam Seni Rupa Malaysia Sezaman.
S.H. Nasr, 1989. Falsafah Kesusasteraan dan Seni Halus. Terjemahan Baharudin Ahmad.
Sidi Gazalba, 1977. Pandangan Islam tentang Kesenian.
Syed Ahmad Jamal, 1992. Rupa dan Jiwa.
Smagula, H., 1991. Re-Visions: New Perspectives of Art Criticism.
Stern, A., 1973. “The Child’s Language of Art” dalam In Child Art: The Beginnings of Self-Affirmation. Edited by Milda Present Lewis.
Tansey, R. G. dan Kleiner, F. S., 1996.
Zakaria Ali, 1989. Seni dan Seniman: Esei-esei Seni Halus.
CATATAN DAN FALSAFAH : ALBERT EINSTEIN
" Fullfillment on the moral and esthetic side ia a goal which lies closer to the preoccupations of art than it does to those of science. Of course, understanding of our fellow being is important. But this understanding becomes fruitful only when it is sustained by sympathetic feeling in joy and in sorrow. The cultivation of this most important spring of moral action is that which is left of religion when it was purified of the element of superstition. In this sense, religion forms an important part of education, when it receives far too little consideration, and that little not sufficiently systematic "
Albert Einstein on THE NEED FOR CULTURE, from ALBERT EINSTEIN'S IDEAS AND OPINIONS, based on Mein Welfblid, published by Wings Book, New York, Undated. (Originally from a letter read on the occasion of the 75th anniversarry of the Ethical Culture Society, New York 1961)
ARTIS DAN TUJUAN BERKARYA : CATATAN 1
Perkara utama yang patut dilihat adalah bentuk persembahan karya itu sendiri, tidak kiralah samaada yang terpamer di mana mana pameran, yang terbit di mana mana penerbitan atau juga terperusuk dan menjadi kediaman labah labah di studio-studio artis. Di antara karya itu ada yang boleh membuka inspirasi baru dan memberi cabaran kepada daya hayat, tidak kurang begitu mentah dan menghambarkan. Tidak pula sengaja dikatakan begitu ; tetapi apabila kesan visual kurang diperhitungkan samada secara sengaja atau artis itu sendiri kurang mahir, maka mentahlah karya itu, apatah lagi apabila soal soal yang lebih serius seperti makna dipersoalkan.
Selain daripada karya, sikap seseorang artis itu juga patut di ambil kira. Tujuan dan pendirian yang tersemat di dalam diri artis itu secara tidak langsung akan terpancar melalui karya karyanya. Harus diingat bahawa seperti orang lain, artis juga tidak dapat lari daripada pengaruh dan dorongan carahidup masa kini yang mementingkan kebendaan.
Dalam mencari jawaban kepada permasalahan ini, adalah dirasakan tepat untuk kita menyoal niat dan tujuan kenapa seseorang artis itu berkarya. Apakah sebenarnya yang dicari? Bagaimana dengan proses pengkaryaan itu? Apakah permasalahan dan persoalan yang patut diambil kira.
Thursday, August 13, 2009
PEMIKIRAN DAN KEFAHAMAN
Sudah tidak ramai lagi penuntut sekarang berfikir tentang alam, tentang budaya, tentang kehidupan.. Generasi berubah... Pemikiran berubah... pengalaman berubah.... Tidak celik pada sejarah atau membantah... bukan tidak ada tetapi boleh dikira...
Apabila melihat bukan tercegat... di suruh jenguk bukan tengok ... di suruh teliti bukan perhati...
paling senang untuk luahkan kreativiti... Lihat buah kelapa... dari mana asalnya.. di mana hidupnya... bagaimana pengalamannya... apa falsafahnya... Siapa yang guna... untuk apa... kaum mana... kalau tak berfikir macamni sampai bila nak berkembang idea dan peta minda tu...
Sebiji kelapa itu terlalu luas subjeknya... belum lagi dikupas, di kukur, di perah santannya. Di mana hendak kita ceritakan... sabut, tempurung, air, santan atau hampas.... itupun masih di luaran... belum menjengah ruang fikiran yang lebih halus...
Begitu juga kita melukis.... Melukis buka meniru semata mata.... melukis adalah satu pemerhatian, pengamatan yang akan membuahkan rasa.... Bagaimana caranya... Apabila kita melukis, kita perlukan sepenuh perhatian pada objek... dari garisan rupa, bentuk, jalinan dan warna... Jika kita sambil lewa melihat sesuatu objek maka ia tidak mendakap fikiran.... ia akan terbang dengan penipuan... kita mula mengolah lukisan mengikut citarasa sendiri... mengikut akal yang termetri... setiap sesuatu objek berlainan sifatnya...itu yang harus kita ingat... bagaimana melukis buluh tidak menjadi rotan... itulah rasa ... Jika kita mencapai rasa itu maka lukisan buluh kita akan menjadi buluh bukan rotan atau batang bemban.... berapa ramaikah pelukis yang berdisiplin seperti beliau yang begitu teliti dengan karyanya.... begitulah agaknya tahap pencapaian rasa yang perlu ada pada seorang pelukis.
Kebanyakan Penuntut sekarang cuba lari dari daerah rasa itu tetapi bercakap tentang rasa..?
Ada antara mereka akan menjadi pendidik dan apa kaedah yang ingin dididik kepada penuntut masa hadapan....? Aku masih boleh berbangga kerana aku mempunyai para sifu yang handal belaka... walau aku tidak berkecimpung sepenuhnya dalam dunia seni tetapi setiap sifu mengajar aku kaedah dan teknik terbaik dari pengalaman mereka ... yang lama dan baru... Terima kasih Encik Suleiman Esa, Encik Ponirin Amin, Encik Bahaman, Encik Jamil Mat Isa, Encik Amron Omar, Encik Zulkifli Yusof, En. Wan Ahmad, En Jailani Abu Hassan, En. Hasnul Jamal Saidun, En. Naser Baharuddin, En. Tang Tuck Kang, En Joseph Tan, En. Awang Damit, En Ramlan Abdullah, Tn Haji Zakaria Awang, En. Yussof Ghani, Encik Wan Zul, En. Din Omar.. Dan para mentor Bayu Utomo, Ahmad fuad, Amin Osman, Hamdan Shaarani, Zaharin, Baharim, Ahmad Syukri, Nurhanim, Rosli Zakaria, Nor Azizan Rahman Paiman, Hadi Salleh, Azman Hilmi, Dan ramai lagi para sahabat...Terima Kasih semua